Penyatuan Silat : Sejarah dan Realiti
Penyatuan Silat: Sejarah, Realiti, dan Cabaran
Sejak dahulu, sejarah silat di Tanah Melayu tidak pernah terpisah daripada peristiwa-peristiwa besar yang membentuk jatidiri bangsa. Salah satu episod penting ialah Perang Musuh Bisik, sebuah peperangan yang bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan strategi, tetapi juga meninggalkan kesan psikologi dan sosial yang panjang terhadap masyarakat, terutamanya di Kedah.
Saya sendiri berasal dari salah satu kawasan Kuala yang pernah diserang akibat pengkhianatan. Pengalaman dan pemerhatian sejak kecil membuatkan saya sedar — masyarakat Kedah, khususnya yang terlibat dalam seni silat, seolah-olah masih terikat dengan satu “rantaian sumpahan” yang diwarisi daripada zaman perang tersebut.
Silat Kedah dan Dilema Perkembangan
Kebanyakan aliran silat yang berakar di Kedah jarang dapat berkembang luas. Faktor-faktor yang menghalang ini sering berkisar pada sifat dalaman masyarakat, konflik kepentingan, dan kesan sejarah pengkhianatan.
Sebagai contoh, Silat Cekak mungkin tidak akan dikenali di peringkat nasional jika Allahyarham Ustaz Hanafi tidak membawanya ke Kuala Lumpur pada tahun 1970-an. Hari ini, jika kita meninjau perkembangan Cekak di Kedah, ia tidak setanding dengan perkembangannya di luar negeri itu.
Sejarahnya panjang. Jika tidak kerana Tok Rashid membawa Silat Cekak ke Kerian dan menyerahkannya kepada Yahya Said dari Batu Kurau, Perak, mungkin silat ini sudah lama terbenam. Di Perak, ia “disimpan” selama 40 tahun sebelum dikembalikan semula kepada orang Kedah melalui Ustaz Hanafi.
Allahyarham Pak Cik Shaari Kuntau Elat — salah seorang pewaris jalur Tok Rashid — memilih untuk mengembangkan Kuntau Elat, bukan Cekak, sebagaimana yang pernah beliau ceritakan sendiri kepada saya.
Perak sebagai “Tembok”
Perak, khususnya daerah-daerah di sempadan utara, berperanan sebagai buffer zone atau tembok pengimbang. Ada kemungkinan faktor ini berkait rapat dengan perjanjian-perjanjian lama di kawasan tersebut. Keadaan ini membolehkan Perak menjadi tempat simpanan ilmu silat sebelum disalurkan kembali ke negeri asalnya.
Selangor: Tanah Subur Silat
Berbeza dengan Kedah, di Selangor hampir semua aliran silat boleh hidup aman damai. Sama ada silat Melayu, silat Jawa, atau silat Banjar — semuanya boleh wujud dan berkembang tanpa banyak gangguan. Faktor keterbukaan dan kemajmukan masyarakat menjadi penyumbang besar kepada suasana harmoni ini.
Idea Federalisme Silat
Dalam satu perbincangan bersama sahabat DSSM Selangor baru-baru ini, Mukhriz Tinnurancang mengutarakan konsep Federalisme Silat — sebuah gagasan untuk menyatukan semua perguruan silat sebagaimana penyatuan dalam karate atau taekwondo.
Gagasan ini menarik, tetapi realitinya ia memerlukan kefahaman yang sangat mendalam tentang kepelbagaian aliran. Sama seperti agama Islam yang mempunyai pelbagai mazhab dan tarekat, silat juga mempunyai toriq atau jalan masing-masing.
Penyatuan tidak semestinya bermaksud penyamaan mutlak. Yang lebih penting ialah mempunyai satu kefahaman dalam konsep Melayu di Tanah Melayu, sambil setiap aliran mengekalkan pakaian, identiti, dan adat masing-masing.
Realiti Penyatuan
Melihat kepada semua faktor ini, adalah realistik untuk menerima bahawa kita mungkin hanya mampu memahamkan segelintir daripada jumlah yang ramai. Pesanan salah seorang guru saya sentiasa menjadi pegangan:
"Lihat satu pada yang ramai, lihat ramai pada yang satu."
Penyatuan silat memerlukan jiwa yang kental, pemahaman sejarah yang mendalam, dan kesediaan menerima perbezaan. Jika tiga unsur ini dapat dipupuk, maka rantaian lama yang mengikat silat Melayu boleh dipecahkan — membuka jalan kepada sebuah era baru yang lebih harmoni dan kuat.
TEORI DURIAN VS FEDERALISMA SILAT – Dari kacaMata Roslim Abu
Teori Durian
Silat macam durian. Dulu ada durian kampung — kecil, isi nipis, biji besar. Lama-lama, dibaja dan dijaga… lahir durian kacuk — D24, Red Prawn, Musang King, Black Thorn. Bentuk sama, tapi rasa berbeza ikut tangan yang jaga.
Begitu juga silat. Namanya tetap silat, tapi masa, rasa, dan pemiliknya ubah isinya. Lagi lama pegang, lagi faham. Evolusi itu perlu, sebab dari situ lahir nilai baru tanpa hilang akar.
Counter-Teori – Federalisme Silat
Memang sedap tengok semua jenis durian berkumpul. Tapi kalau semua masuk satu bakul besar sebab nak “federalisme”, belum tentu rasa serasi. Durian Siam besar tapi hambar boleh tutup aroma Musang King.
Silat pun sama. Budaya silat pulut dan majlis keramaian memang mampu satukan perguruan. Tapi kalau nak angkat ke peringkat kebangsaan, kita kena pandai susun — macam pekebun durian tahu mana untuk jual lelong, mana untuk pameran, mana untuk peminat tegar.
Federalisme silat mesti kekalkan rasa setiap perguruan. Kalau semua “dipaksa” jadi Musang King, hilanglah cerita durian kampung yang dulu orang tunggu musimnya sambil pasang jaring bawah pokok.
Kesimpulan
Sama ada ikut teori durian atau federalisme, yang penting rasa dan cerita jangan hilang. Sebab silat bukan sekadar gerak — ia warisan rasa bangsa.
Roslim bin Abu
Comments