FESTIVAL DIASPORA MELAYU SEDUNIA
FESTIVAL DIASPORA MELAYU SEDUNIA 2026
Menghubungkan Warisan, Menyatukan Peradaban
Festival Diaspora Melayu Sedunia (FDMS) 2026 bakal menghimpunkan masyarakat dan keturunan Melayu dari seluruh dunia dalam satu acara bersejarah yang meraikan warisan, tamadun dan jalinan persaudaraan Melayu merentas benua.
Antara wilayah dan komuniti yang dijangka menyertai festival ini ialah Nusantara, Afrika Selatan, Madagascar, Champa, Yunnan, Taiwan, Kepulauan Cocos (Keeling), gugusan Kepulauan Austronesia, Australia, New Zealand, Hawaii serta komuniti Melayu di Eropah.
Festival ini dianjurkan oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama pelbagai agensi dan pertubuhan strategik. Persatuan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) dijemput sebagai rakan kerjasama utama bagi menganjurkan Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa sebagai salah satu pengisian teras festival.
Konvensyen ini dijangka mendapat sokongan pembiayaan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta MyKhas Senator Profesor Emeritus Datuk Dr. Awang Sariyan, manakala Jabatan Muzium Malaysia akan menyelaras penyertaan dan kehadiran delegasi antarabangsa.
Festival ini dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Perpaduan dan berpotensi menjadi acara penutup paling berprestij bagi kalendar kebudayaan negara tahun 2026.
Komponen Utama Festival
1. Persidangan Diaspora Melayu Sedunia.
2. Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa bertemakan "Panglima Awang: Legasi Melayu Merentas Dunia".
3. Pameran Diaspora Melayu Sedunia.
4. Persembahan Warisan Budaya Melayu Sedunia.
5. Festival Gastronomi Melayu Sedunia.
6. Pavilion Komuniti Diaspora Melayu Dunia.
7. Forum Pemikiran Tamadun Melayu dan Masa Hadapan.
8. Pameran Manuskrip, Peta, Artifak dan Jejak Maritim Melayu.
9. Demonstrasi Seni Pertahanan, Permainan Tradisional dan Kraftangan Melayu.
10. Pertemuan Jaringan NGO, Akademia dan Institusi Warisan Melayu Antarabangsa.
Festival ini bukan sekadar sebuah acara kebudayaan, tetapi merupakan platform membina kesedaran tentang sejarah, identiti, jaringan diaspora serta sumbangan bangsa Melayu kepada tamadun dunia. Ia diharap menjadi penanda aras baharu dalam usaha memperkukuh jati diri, memartabatkan warisan dan menghubungkan kembali keluarga besar Melayu di seluruh dunia.
Comments