PROSES MENDOKUMENTASIKAN KAJIAN ILMU WARISAN
Fasa 1: Pendedahan Awal dan Penentuan Posisi Ilmu (Positioning)
Fasa ini menumpukan kepada pendedahan awal kepada ahli-ahli silat—terutamanya generasi terdahulu—mengenai peluang dan kepentingan mengembangkan ilmu yang dimiliki, termasuk aspek ‘positioning’ dalam konteks budaya dan ilmu Melayu.
Ilmu-ilmu seperti lipat bumi, lompat tikam, siku balik dan sebagainya memang diketahui ramai dalam komuniti seni bela diri Melayu, namun yang mendokumentasikan ilmu ini selalunya bukan daripada kalangan ahli warisnya sendiri, sebaliknya individu luar yang hanya berdasarkan dengar cakap (hear say). Hal ini menyebabkan berlakunya penyimpangan, penyesatan makna, dan kehilangan nilai autentik.
Fasa 2: Kesedaran Kaedah Kajian dan Pendokumentasian
Langkah seterusnya ialah membawa para penggiat dan pewaris ilmu silat kepada dunia kajian ilmiah dan pendokumentasian secara sistematik.
Ini termasuk:
- Kaedah membuat kajian secara sahih
- Teknik merekod dan menyimpan data
- Proses pendaftaran dan perlindungan hak karya
- Penggunaan sistem metadata dan nombor siri
- Pendaftaran hasil kerja bagi mengelakkan penciplakan
Hari ini, pelbagai hasil budaya termasuk silat telah diciplak dan dieksploitasi oleh pihak luar kerana kekurangan pengetahuan dan akses teknikal di kalangan pewaris asal. Sebaliknya, mereka yang tahu teknik manipulasi maklumat dan perundangan budaya pula yang ke hadapan.
Fasa 3: Pengiktirafan Ilmiah dan Pengesahan Dokumentasi
Setelah melalui pendedahan dan latihan pendokumentasian, fasa ini menumpukan kepada pengiktirafan ilmiah dengan mengangkat hasil kerja ke peringkat yang lebih formal dan kekal dalam rekod awam.
Contoh pendekatan termasuk:
- Penyertaan dalam projek seperti yang dijalankan oleh institusi seperti UiTM, di mana pengetahuan dibentangkan dalam bentuk kertas kerja, manuskrip, atau artikel akademik
- Setiap penyertaan didaftarkan dengan nombor siri rasmi, yang melindungi karya asal daripada diciplak
- Sistem ini memberi ruang untuk penyelidikan terbuka, di mana jika ada kajian lanjutan yang lebih sahih, ia boleh ‘override’ kajian lama secara beretika
Pendekatan ini bukan sahaja memperkemas kerja dokumentasi, malah memposisikan seni budaya Melayu sebagai bahan kajian sah dalam ekosistem ilmiah.
Fasa 4: Pengiktirafan Nilai Ekonomi dan Akses Terbuka
Fasa terakhir ialah membuka perbincangan berkenaan penilaian ekonomi terhadap hasil budaya dan karya ilmu. Namun, nilai kewangan ini adalah subjektif dan tidak boleh dicapai tanpa terlebih dahulu melalui proses dokumentasi dan pengiktirafan.
Aspek penting:
- Nilai hanya boleh diwujudkan apabila karya mempunyai rujukan, status rekod, dan pengiktirafan
- Paling utama, pendedahan terus dunia silat ke dalam kerangka akademik, tanpa bergantung kepada orang tengah
- Jika tokoh2 seperti Johan Iskandar boleh menerbitkan buku mengenai destar Melayu, tiada sebab tokoh-tokoh silat seperti Cikgu Rafedi, Pangiran, dan lain-lain tidak boleh menghasilkan manuskrip keris, ilmu buah, atau sistem falsafah silat
Tambahan pula, di institusi-institusi seperti Jabatan Warisan sendiri masih kekurangan akses kepada sumber primer. Maka, ruang ini terbuka luas kepada pewaris dan pengamal silat untuk mengisi kekosongan tersebut secara langsung.
ROSLIM ABU | 12hb Julai 2025 |12:14 pm
Comments